Bersekutu bukan sekadar pelengkap parti - Sri Sanjeevan

SHAH ALAM - Naib Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), R Sri Sanjeevan menepis persepsi sayap itu sekadar entiti kelas kedua atau terpinggir dalam parti.

Beliau berkata, Bersekutu merupakan sayap penting yang menghubungkan Bersatu dengan komuniti bukan Melayu yang bukan sekadar pelengkap atau entiti lain dalam struktur parti pimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah beliau menegaskan, tanggapan tersebut tersasar kerana ahli sayap turut diberi ruang dan peranan penting dalam kepimpinan Bersatu.

“Walaupun Bersatu adalah parti Melayu, tetapi kita ada lebih daripada empat orang yang bukan Melayu duduk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Adakah mana-mana parti Melayu di negara ini yang mempunyai suara bukan Melayu dalam MPT mereka? Jawapannya tidak, tetapi Bersatu ada dan menjadi sebuah parti yang julung kalinya berjaya wujudkan sayap Bersekutu,” katanya dalam program wawancara bersama Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu beliau menegaskan, Bersekutu menjadi jambatan utama yang menghubungkan Bersatu dengan komuniti bukan Melayu termasuk India, Cina dan lain-lain.

Secara tidak langsung ujarnya, ia membuktikan Bersatu bukan sahaja berjuang untuk Melayu dan Islam, tetapi memberi ruang serta peluang kepada bukan Melayu untuk bersama dalam perjuangan parti.

“Bagi saya itu adalah satu penghormatan yang diberi kepada suara orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu diangkat jadi calon, terbukti dalam PRU15 dan PRN 2023, memang ada calon diangkat daripada Bersekutu.

“Jadi tidak timbul persoalan bahawa Bersekutu terpinggir atau kelas kedua,” tegasnya.

Sementara itu beliau turut menekankan keperluan melahirkan lebih ramai calon muda dalam kalangan bukan Melayu, khususnya golongan berpendidikan tinggi, berkemahiran teknikal dan memiliki aspirasi untuk menyumbang kepada masyarakat serta negara.

“PAT (Perhimpunan Agung Tahunan) kali ini amat penting sebagai platform memperkukuh parti, memperbaiki kelemahan dan bersiap sedia menghadapi cabaran politik yang lebih besar.

“Setiap kritikan dan cadangan yang dibawa dalam PAT nanti perlu diambil secara konstruktif demi kukuhkan perpaduan dan dijadikan wadah memperkuat parti,” katanya.