Tidak perlu layan surat layang - Azmin Ali

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat sebarang dakwaan tidak berasas yang disebarkan melalui surat layang, termasuk tuduhan kononnya terdapat usaha untuk menjatuhkan Presiden parti tidak sepatutnya dibalas atau dilayan.

Mohamed Azmin berkata, ini kerana tindakan itu merupakan budaya politik kotor yang harus dihentikan.

"Surat layang adalah surat layang, bagaimana kita nak kawal. Jadi kita perlu hentikan politik kotor ini bukan sahaja dalam Bersatu tetapi juga Malaysia.

"Saya rasa populasi muda ingin melihat politik baharu yang akan menentukan masa depan semua rakyat Malaysia.

"Ini pendirian Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi saya rasa kita tidak patut membalas atau layan surat layang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Mohamed Azmin, perkara yang perlu dilakukan sekarang adalah menumpukan perhatian kepada isu rakyat, kos sara hidup, isu ekonomi, pendidikan dan memastikan semua rakyat bersatu.

"Itu akan menjadi tema kami di Perhimpunan Agung Tahunan, Bersatu Menuju Kemenangan.

'Bersatu bukan hanya nama parti tetapi juga mewakili pasukan yang kita mahu bina untuk pilihan raya akan datang," jelasnya.