Abdul Hadi kekal Presiden Pas, menang tanpa bertanding

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal mempertahankan jawatan Presiden Pas yang disandang beliau sejak 23 tahun lalu selepas disahkan menang tanpa bertanding pada Muktamar Tahunan Pas Kali ke-71.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang merangkap bekas Menteri Besar Terengganu disahkan menang bagi pemilihan parti itu bagi sesi 2025–2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud berkata, pengesahan tersebut dibuat selepas semua jawapan tawaran pencalonan diterima dan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada Selasa lalu.

Menurutnya, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Pas apabila muncul sebagai calon tunggal dan menang tanpa bertanding.

“Tiga Naib Presiden, iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Idris Ahmad; dan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Abdullah, turut menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

“Jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap juga tidak dipertandingkan, menyaksikan penyandangnya, Hussin Ismail dan Kamal Shaari, masing-masing kekal menang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rohimi turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, akan terus menerajui sayap Dewan Pemuda Pas apabila turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

“Dewan Muslimat juga kekal diterajui Nuridah Salleh, manakala semua jawatan dalam Dewan Ulama Pas Pusat sesi 2025–2027 turut menyaksikan kesemua calon menang tanpa bertanding, termasuk Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya,” katanya lagi.

Tambahnya, pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat akan menyaksikan pertandingan selepas 38 calon layak diterima manakala lapan lagi menolak pencalonan.

Antara calon bertanding bagi jawatan berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad; dan AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Turut bertanding ialah barisan ahli Parlimen parti itu termasuk Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Kuala Terengganu); Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas); Datuk Awang Hashim (Pendang); Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat) dan Ir Khairil Nizam Khirudin (Jerantut); Dr Halimah Ali (Kapar) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Justeru, Wan Rohimi berkata, hanya pemilihan bagi Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan berlangsung pada muktamar kali ini.

Muktamar Pas kali ini dijadualkan berlangsung di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Pendang dari 11 hingga 16 September ini.