PRN Sabah: Tiada kerjasama antara UMNO Sabah dan GRS - Ahmad Zahid

KOTA KINABALU - UMNO Sabah memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas beberapa siri perbincangan bersama Pakatan Harapan (PH) dan GRS sebelum ini, selain penelitian terperinci terhadap fakta serta butiran hasil rundingan tiga pihak tersebut.

"Kami telah bersetuju untuk membentuk jawatankuasa teknikal yang memakili GRS, Barisan Nasional (BN) dan PH. Beberapa siri rundingan telah dilakukan sama ada di Kota Kinabalu ataupun Kuala Lumpur.

"Merujuk kepada perbincangan yang telah diadakan tadi (mesyuarat), saya bersama-sama rakan kepimpinan UMNO telah menyampaikan keputusan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Biro Politik UMNO Sabah bahawa setelah meneliti semua fakta dan butiran perbincangan yang telah diadakan cara tiga pihak, maka saya telah menyampaikan keputusan apa yang telah diputuskan oleh kepimpinan khususnya UMNO bahawa kami mengekalkan kerjasama BN-PH.

"Namun kami telah memutuskan bahawa BN dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dengan Biro Politik UMNO Sabah di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, menerusi mesyuarat yang dihadirinya itu beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan antara kepimpinan dalam kerajaan Perpaduan berkaitan PRN Sabah telah diadakan di pejabat Perdana Menteri sebelum ini.

"Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama tiga pemimpin parti-parti dalam gabungan GRS serta kepimpinan PH dan UMNO.

"Dalam perbincangan itu, Perdana Menteri telah menyatakan seboleh mungkin dielakkan pertandingan tiga penjuru atau pertindihan kerusi yang bakal dimuktamadkan sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan pendirian untuk kekal tidak bekerjasama dengan GRS.