ALOR SETAR - Pemilihan Pas tahun ini dilihat sebagai penentu hala tuju parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menguji sejauh mana kestabilan dalaman serta keupayaan kepimpinan sedia ada untuk terus memimpin.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ketiadaan pertandingan di peringkat tertinggi Pas sering ditafsirkan sebagai perpaduan dalaman dan kestabilan parti, namun ia turut menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar mencerminkan kestabilan atau membayangkan kurangnya keyakinan ahli untuk mencabar kepimpinan sedia ada.
Menurut beliau, persefahaman dalaman mungkin wujud bagi mengelak perpecahan ketika parti semakin hampir dengan PRU16, namun pada masa sama ia juga boleh dianggap sebagai kelemahan kerana tidak melahirkan idea baharu.
“Kedua-dua faktor ini mungkin memainkan peranan. Di satu sisi, ia menunjukkan kepimpinan sedia ada berjaya mengekalkan sokongan kuat dari akar umbi.
“Mungkin juga ada persefahaman dalaman bahawa persaingan di peringkat tertinggi boleh merugikan parti menjelang PRU16.
“Namun, di sisi lain, ketiadaan pertandingan boleh dilihat sebagai kelemahan yang menggambarkan ahli-ahli yang berpotensi mencabar kepimpinan sedia ada tidak yakin dengan peluang mereka untuk menang.
“Atau mungkin juga ada faktor lain seperti kurangnya sokongan untuk melancarkan kempen secara berkesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, Pas perlu memastikan ketiadaan pertandingan di peringkat tertinggi tidak menjadikan kepimpinan parti statik, sebaliknya terus responsif terhadap perubahan politik negara.
“Pemilihan Jawatankuasa Pas Pusat juga sama penting kerana ia menjadi nadi di mana dasar dan strategi dirumuskan. Oleh itu, penting untuk pastikan individu yang dipilih mempunyai visi jelas, berwibawa, berintegriti, berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran serta mampu berkomunikasi dengan baik dalam lapisan masyarakat.
“Mereka perlu memahami selok-belok sistem politik negara dan merangka strategi berkesan untuk capai matlamat parti. Mereka juga perlu bijak berdialog dengan pihak berbeza pandangan dan cari titik persamaan untuk kepentingan negara,” katanya.
Tambah beliau, dalam era politik yang semakin dinamik, Pas memerlukan pemimpin sederhana, profesional dan berilmu agama agar lebih mudah diterima masyarakat majmuk di negara ini.
Antara nama berpotensi diketengahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan; Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman; Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad.
“Mereka dianggap mampu menarik pengundi atas pagar serta golongan muda. Ia juga menunjukkan Pas bukan sekadar parti agama yang konservatif, tetapi juga progresif dan inklusif serta prihatin terhadap kebajikan rakyat pelbagai kaum,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, PRU16 bakal menjadi medan pertempuran penting bagi Pas, sama ada parti kekal dengan pendekatan lama atau berani membawa wajah baharu dalam menentukan masa depan parti itu.
“Jika Pas pilih untuk kekalkan pendekatan sama, mereka mungkin akan berdepan cabaran menarik pengundi baru. Jika Pas berani lakukan perubahan dengan tampilkan pendekatan lebih inklusif, mereka berpotensi menarik sokongan pengundi atas pagar dan golongan muda.
“Namun Pas perlu merangka naratif lebih positif dan progresif, menekankan isu-isu keadilan sosial, ekonomi inklusif dan tadbir urus baik.
“Mungkin Pas kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang mereka buat dalam pemilihan akan menentukan sama ada mereka terus relevan dalam politik negara atau menjadi sejarah yang dilupakan. Hanya masa akan menentukan,” katanya.