SHAH ALAM - Kecenderungan pihak tertentu untuk berhubung dengan mana-mana parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) termasuk membabitkan perbincangan tidak rasmi MIC dengan Perikatan Nasional (PN) bukanlah suatu perkara baharu kerana semua parti telah melaluinya.
Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin MIC akan membuat pertimbangan setiap inci dalam konteks Malaysia yang pelbagai kaum.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, model politik yang selama ini berjaya menjaga keharmonian antara kaum ialah BN.
“Yang paling mustahak adalah semua perkara berkaitan dengan isu-isu dasar dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN.
“Pendekatan BN adalah pendekatan perbincangan bersama dan consensus building (pembinaan konsensus),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Zambry turut percaya kepada keteguhan semangat setiakawan BN yang ada pada pimpinan MIC di bawah Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan.
“Sebagai sebuah parti yang matang dan antara terawal dalam politik negara, mereka melalui pelbagai cabaran termasuk apa yang sedang dihadapi kini,” ujarnya.
Pada Sabtu, Vigneswaran mengakui parti berkenaan mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN bagi menentukan hala tuju politiknya.
Beliau berkata, perkara tersebut tidak disembunyikan kerana MIC sentiasa terbuka bagi perbincangan ekoran usul dicadangkan akar umbi parti di Kedah dan Pulau Pinang untuk menyokong PN.
Menurutnya, MIC masih meneliti dengan terperinci hala tuju parti itu sebelum keputusan muktamad dibuat demi kebaikan masyarakat India dan parti.
Minggu lalu, MIC Kedah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN, namun keputusan akhir tetap tertakluk kepada kepimpinan Pusat.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN berdepan cabaran besar selepas hanya memenangi 30 kerusi Parlimen termasuk satu kerusi MIC sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) serta beberapa parti lain.