Kerjasama erat pemimpin negeri, persekutuan penting demi kesejahteraan rakyat - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin berkata, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh serta inklusif.

Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook susulan pertemuan beliau selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang berlangsung dalam suasana harmoni serta penuh semangat kebersamaan.

"Pertemuan ini mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.

"Saya percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Presiden PKR turut menyatakan harapan agar semangat muafakat tersebut akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua. - Bernama