KUALA LUMPUR –Sebanyak 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan sebuah gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani, termasuk janji reformasi yang masih belum dilaksanakan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kesepakatan telah dicapai, nama rasmi bagi gabungan tersebut hanya akan diumumkan dalam mesyuarat akan datang.
Menurutnya, gabungan itu membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
“Turut serta ialah sebuah organisasi yang belum berdaftar secara rasmi, Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai),” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Bersama Ketua-Ketua Pembangkang di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Jelasnya, mesyuarat pada Isnin turut bersetuju agar parti-parti pembangkang memperluas perbincangan bersama kumpulan masyarakat termasuk peniaga, pengusaha serta wakil sektor tertentu bagi memahami masalah mereka dan mencadangkan pendekatan terbaik untuk diketengahkan kepada kerajaan.
“Kami sepakat di sini, tidak ada seorang pun pimpinan parti yang tidak bersetuju. Ini perkara yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, termasuk soal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sedang dibentang dan dibahas tetapi dilihat tidak menyelesaikan banyak isu utama rakyat
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, pembentukan gabungan longgar itu merupakan langkah awal sebelum sebarang keputusan lain diambil pada masa depan.
Menurutnya, isu kos sara hidup menjadi tumpuan utama perbincangan kerana ia merupakan beban terbesar yang ditanggung rakyat sejak kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran negara.
“Walaupun kadar inflasi rendah, di banyak tempat harga barang terus naik. Kenaikan ini berlaku kerana penghapusan atau penstrukturan semula subsidi minyak yang meningkatkan kos logistik.
“Selain itu, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas sejak 1 Julai kepada hampir 6,000 jenis barangan turut menambah beban rakyat,” katanya.
Beliau menambah, sektor perniagaan turut terkesan apabila pengusaha mengadu menanggung kos operasi yang semakin tinggi, sekali gus menekan peniaga kecil dan sederhana.
“Isu ini berlarutan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan tidak melaksanakan janji-janji reformasi seperti penghapusan tol dan penangguhan bayaran balik PTPTN. Semua ini menambah beban rakyat,” tegasnya.
Ketika ditanya berkenaan kerjasama gabungan itu pada pilihan raya akan datang, beliau berkata perkara belum ditentukan secara khusus.
“Tapi apa sahaja kita fikir ada kepentingan bersama yang menyentuh baik soal politik ekonomi,sosial, pendidikan dan apa-apa hal kita boleh guna platform dan bincang bersama dan ambil keputusan bersama, bukan satu parti, tapi banyak parti," ujarnya.