KUALA LUMPUR - Pembentukan gabungan longgar melibatkan 12 parti pembangkang yang diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai perkembangan positif dalam landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, gabungan itu bakal mewujudkan keseimbangan politik yang lebih stabil apabila berdepan dengan 18 parti politik yang mendukung Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Gabungan longgar pembangkang yang dipimpin PN akan berdepan gabungan mantap kerajaan Madani yang kini memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen. Kewujudan dua blok besar ini akan mencipta suasana lebih aman menuju PRU16,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hassan menegaskan, gabungan pembangkang yang terdiri daripada parti Melayu-Islam seperti Bersatu, Pas, Pejuang dan Putra; parti berasaskan kaum Cina seperti Gerakan; serta parti kaum India termasuk MIPP, PPP, Iman dan Urimai, dilihat melengkapi kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Selain itu, katanya, penyertaan parti progresif seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjadikan gabungan tersebut lebih inklusif.
“Dengan gabungan parti merentasi kaum dan agama, mereka tidak lagi boleh bergantung kepada retorik sempit perkauman atau agama. Sebaliknya, semua pihak perlu mencari jalan tengah yang sederhana dalam pendekatan politik mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui Kerajaan Madani pimpinan Anwar memiliki kekuatan tersendiri kerana berjaya membentuk kerajaan pelbagai kaum dan agama sejak November 2022.
Menurutnya, kelebihan Kerajaan Madani terletak pada kestabilan, pengalaman serta dasar inklusif melalui gabungan Pakatan Harapan bersama parti-parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Walaupun Kerajaan Madani mempunyai kelebihan majoriti besar, jumlah ahli Parlimen pembangkang juga tidak kecil dan tetap kuat. Inilah yang menjadikan keseimbangan politik lebih sihat,” ujarnya.
Hassan menambah, masa depan gabungan 12 parti pembangkang bergantung kepada sejauh mana mereka mampu membina naratif politik nasional dengan menekankan isu-isu utama rakyat.
“Jika mereka memberi fokus kepada isu ekonomi, kewangan negara, tadbir urus kerajaan, rasuah di kementerian, kos sara hidup, cukai dan subsidi, ia akan memberi tekanan kepada Kerajaan Madani.
“Apatah lagi jika pada masa sama Pemuda UMNO dan Pemuda DAP terus berbalah sesama sendiri, ia boleh menjejaskan imej kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan Kerajaan Madani masih memiliki kelebihan sekiranya kekal sederhana, tidak perkauman dan menekankan keadilan sosial untuk semua rakyat.
Katanya, perkara itu jelas tersurat dan tersirat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang beranjak daripada dasar ekonomi berasaskan kaum kepada pendekatan mengikut keperluan sebenar rakyat.
“Resipi politik inilah yang boleh memastikan Kerajaan Madani terus disokong rakyat pelbagai lapisan menjelang PRU16, dengan syarat perbalahan sia-sia dalam kalangan parti komponennya dapat dihentikan segera.
“Jika tidak, rakyat mungkin muak dengan pertelingkahan itu dan beralih memberi sokongan kepada gabungan pembangkang pimpinan Muhyiddin,” katanya.
Terdahulu, 12 parti pembangkang mencapai kesepakatan menubuhkan gabungan longgar bagi memperjuangkan isu-isu rakyat yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani, termasuk janji reformasi yang masih belum dilaksanakan.
Muhyiddin berkata, meskipun kesepakatan telah dicapai, nama rasmi gabungan itu hanya akan diumumkan pada mesyuarat akan datang.