GEORGE TOWN- Perbezaan pandangan antara DAP Socialist Youth (DAPSY) dengan Pemuda UMNO berhubung isu Jalur Gemilang disifatkan tidak serius, sebaliknya hanya ibarat perbalahan kecil antara adik-beradik.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, perpaduan antara parti Kerajaan Perpaduan diibaratkan seperti sebuah perkahwinan baharu, manakala pergerakan pemuda pula diumpamakan sebagai anak-anak kecil yang adakalanya bercakaran tetapi tidak sampai ke tahap bergaduh besar.
“Bagi saya, kedua-dua pihak ada pandangan masing-masing. Namun, soal Jalur Gemilang adalah soal lambang kelahiran negara.
“Tidak kira siapa, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, proses undang-undang mesti berjalan,” katanya ketika ditemui selepas Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan di Jelutong pada Isnin.
Tambahnya, siasatan perlu dilakukan bagi menentukan sama ada kesilapan berkaitan Jalur Gemilang itu disengajakan atau tidak, dan perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Semua pihak perlu terus menjulang Jalur Gemilang kerana ia simbol penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Malaysia ini negara berbilang kaum – Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semua kaum perlu menghargai bendera ini. Semangat itulah yang perlu kita pupuk,” katanya.
Mengulas hubungan antara DAPSY dan UMNO, beliau menegaskan isu tersebut sudah selesai kerana gabungan kedua-dua parti dilihat memberi kekuatan baharu kepada kerajaan.
“Ini sebenarnya gabungan yang baik untuk Malaysia hari ini. Ia gabungan parti lama yang berpengalaman dengan parti reformis dalam Pakatan Harapan. Gabungan ini akan mengatur strategi serta hala tuju ekonomi yang lebih mampan.
“Seperti Konvensyen Amanah yang diadakan semalam turut menyaksikan kehadiran Pemuda UMNO, AMK dan DAPSY yang duduk semeja serta bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan bendera dengan penuh semangat.
“Ini hal keluarga. Biasalah, pemuda kadang-kadang berbeza pandangan, tetapi itu bukan perkara serius. Yang penting, jangan biarkan Perikatan Nasional menguasai politik negara ini kerana mereka jauh lebih berbahaya,” katanya.
Terdahulu, DAPSY Pulau Pinang menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan semua bentuk hubungan kerjasama politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, khususnya menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
DAPSY Pulau Pinang berkata, gelagat Muhamad Akmal yang didakwa semakin melampau dalam berpolitik kini menjadi ancaman kepada keharmonian nasional dan kedaulatan undang-undang.
DAPSY Pulau Pinang juga menyifatkan tindakan Muhamad Akmal dalam isu bendera kali ini berbaur kebencian terhadap kaum lain, selari dengan naratif perkauman pembangkang.
Menurut DAPSY Pulau Pinang, pelanggaran Akta Bendera sepatutnya disiasat pihak berkuasa, bukannya dijadikan alasan untuk ahli politik bertindak sebagai ‘polis moral’ dan bersikap samseng.
Pada Khamis, kira-kira 500 ahli daripada UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Bagaimanapun, perhimpunan itu menjadi kecoh apabila sekumpulan individu yang diketuai peguam dan Pengarah Lawyers For Liberty Malaysia, Zaid Malek, memegang beberapa kad antaranya yang bertulis ‘Jangan Bersikap Zionist’ dan ‘Jangan Buli’.
Namun, tiada tangkapan atau insiden tidak diingini berlaku selepas perhimpunan itu bersurai kira-kira setengah jam berkumpul di kawasan berkenaan.