ALOR SETAR - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kedah mendesak kepimpinan DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan semua bentuk hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, termasuk menolak sebarang kerjasama politik dengannya pada pilihan raya umum akan datang.
DAPSY Kedah dalam kenyataannya berkata, tindakan Muhamad Akmal menganjurkan perarakan dan berlagak samseng di Kepala Batas ekoran isu bendera jelas menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bertindak umpama ‘Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN)’ dan bukannya pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, perbuatan tersebut seolah-olah menjadikan beliau ‘tali barut’ PN dalam kerajaan.
“Tindakan Akmal itu umpama usaha membantu Armada Bersatu dan Pemuda Pas menggugat Kerajaan Perpaduan dengan naratif perkauman. Lebih baik Akmal menjadi Ketua Pemuda PN daripada terus bersembunyi di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.
DAPSY Kedah turut membidas sikap tersebut yang disifatkan mencemarkan semangat Jalur Gemilang apabila menjadikan bendera kebangsaan sebagai senjata politik.
“Tindakan samseng dan tidak beradab ditunjukkan oleh Akmal membuktikan beliau adalah ahli politik yang langsung tidak menghormati kedaulatan undang-undang.
“Jelas sekali, dari segi prinsip dan tindakan, Akmal tidak layak menjadi rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan mahupun dalam pilihan raya,” katanya.
Tegas mereka lagi, tindakan Akmal yang sengaja membakar sentimen perkauman demi menanam kebencian membuktikan sikap politik tidak matang, sekali gus menghakis semangat perpaduan rakyat.
“Asas kepada sebarang kerjasama politik adalah kesediaan untuk memegang nilai dan mencari persefahaman bersama, namun jelas dari segi prinsip dan tindakan, Akmal sudah menyimpang jauh.
“Oleh itu, DAPSY Kedah menyeru kepimpinan pusat menolak sebarang bentuk kerjasama dengan beliau kerana tidak menghormati semangat Malaysia Madani,” ujarnya.
Dalam pada itu, DAPSY Kedah turut menyelar sikap berat sebelah Muhamad Akmal yang dianggap memalukan apabila Pemuda UMNO sendiri didakwa beberapa kali menggunakan reka bentuk bendera yang salah dalam hebahan mereka tanpa sebarang tindakan tegas diambil.
“Beliau sering menuduh pihak lain sebagai golongan tidak patriotik, sedangkan Pemuda UMNO yang dipimpinnya sendiri berkali-kali menggunakan versi bendera yang salah dalam hebahan media mereka.
“Mengapa tidak ambil tindakan tegas untuk mengheret ahlinya sendiri sebagai mendidik mereka?” soalnya.
Pada 15 Ogos lalu, kira-kira 500 ahli daripada UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Kumpulan tersebut diketuai Muhamad Akmal berkumpul di tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas sebelum berarak ke Jalan Bertam Perdana sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan “Pertahan Jalur Gemilang”.