Terlalu awal untuk PH bincang tanding solo - Aminuddin

SEREMBAN - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan masih terlalu awal untuk Pemuda Amanah Negeri Sembilan memberi cadangan supaya Pakatan Harapan (PH) bertanding solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, tumpuan yang perlu diberikan ketika ini adalah berkhidmat untuk rakyat dan pada masa mengukuhkan parti termasuk meningkatkan keahlian, bukannya berpolitik semata-mata.

"Kita boleh cakap nak bertanding seorang sekarang, tapi kita ada masa dua tahun lagi sebelum pilihan raya.

"Jadi kita tunggu dan lihat suasana ketika itu barulah kita buat keputusan. Bagi saya terlalu awal untuk kita memperkatakannya (bertanding solo), lainlah kalau di Sabah atau Sarawak," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pemuda Amanah Negeri Sembilan supaya PH menghadapi PRU16 secara berasingan daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Umar Mokhtar Abdullah berkata, cadangan itu adalah susulan senario di Melaka dan Johor di mana terdapat cadangan pertandingan tiga penjuru berlaku.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, cadangan tersebut seharusnya dikemukakan secara tertutup untuk dibincangkan di peringkat dalaman parti terlebih dahulu.

"Saya rasa pengumuman yang sensitif sebegini harus dibincangkan Pemuda Amanah Negeri Sembilan khususnya dengan Presiden Amanah yang tidak harus dibelakangkan.

"Pandangan boleh diberi, tapi saya rasa kalau melibatkan pertandingan, ia agak awal untuk kita nilai dan keputusan itu akan dibuat oleh kepimpinan utama PH," katanya.

Tambah Aminuddin, jangan kerana ada parti lain yang menyatakan hasrat mahu bertanding solo, PH juga perlu membuat keputusan begitu.

"Nak kita bertanding solo, adakah kita betul-betul ada kekuatan? Jadi saya harap ini harus diperhalusi, cadangan-cadangan seharusnya dibawa secara tertutup dulu, selepas itu baru dibincangkan.

"Banyak lagi isu yang perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun ini. Nak pilihan raya esok baru tahu kuat atau tidak,"katanya.