KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menyangkal dakwaan terlibat dalam saman difailkan peguam, P Waytha Moorthy terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, tindakan yang dilakukan Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu adalah secara peribadi.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita hanya menghormati hak beliau untuk membawa perkara itu ke mahkamah dan biar mahkamah tentukan.
"Kita (PN) tidak terlibat sebagai satu pihak atau satu parti kepada tuntutan ini. Itu kedudukan kita," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Sebelum ini Waytha Moorthy dilapor memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.
Beliau memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil pada Khamis melalui Tetuan Karthig Shan dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Menurutnya, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Rentetan itu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan tampil mempersoalkan sama ada saman difailkan Waytha Moorthy mempunyai kaitan dengan pertemuan terbaharunya bersama pemimpin pembangkang.
Mengulas perkara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menempelak analogi yang dibangkitkan Syahredzan dan menyifatkan perkara itu tidak berasas.
"Apa (tuduhan) ini, cakap dekat dia (Syahredzan) fikir betul-betul sikit, tiada kena mengena tentang siapa berjumpa siapa, akhirnya timbul masalah.
"Kalau macam itu, saya ingat dia jangan jadi Speaker (Dewan Rakyat) lagi. Itu permohonan kami," ujarnya.