UMNO protes parti gabungan terima ahlinya

KUALA LUMPUR – UMNO akan menyerahkan nota bantahan kepada parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang menerima kemasukan ahlinya sebagai tanda protes terhadap tindakan yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam Rabu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia, di sini.

"Protes ini adalah amaran keras, yang jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti gabungan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Isu itu memuncak selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan beliau kini ahli PKR Cabang Ampang pada Jumaat lalu.

Permohonan Tengku Zafrul diterima selepas beliau mengumumkan keluar daripada UMNO pada 30 Mei lalu serta meletakkan semua jawatan termasuk sebagai ahli MKT dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

Langkah itu mendapat reaksi kurang senang dalam UMNO apabila beberapa pemimpin mendesak PKR supaya tidak menerima kemasukan Zafrul bagi mengelakkan ketidakharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

PKR bagaimanapun tetap menerima bekas Menteri Kewangan itu sebagai ahli baharu.