Serangan anak Rafizi: MP Miri gesa Dewan Rakyat bahas segera isu keselamatan wakil rakyat

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya isu keselamatan wakil rakyat dibahaskan segera berikutan insiden serangan ke atas ahli keluarga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli semalam.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, usul itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dengan cadangan agar Dewan Rakyat menumpukan perbahasan terhadap isu keselamatan diri dan ahli keluarga wakil rakyat selepas kejadian pada 13 Ogos 2025 itu.

Menurutnya, perbahasan segera amat penting kerana serangan tersebut bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah turut menggugat keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan negara.

"Ini kerana perkara berkenaan merupakan kepentingan orang ramai kerana sebagai wakil rakyat adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk membangkitkan perkara-perkara dan bertindak demi rakyat dan kepentingan awam tanpa rasa takut dan pilih kasih.

"Itu sebab Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan imuniti undang-undang kepada ahli-ahli Parlimen untuk bersuara dan mengundi dalam sidang Majlis Parlimen.

"Seksyen 124 Kanun Keseksaan juga telah memberikan perlindungan kepada seseorang wakil rakyat daripada apa-apa serangan ke atas dirinya dengan niat hendak memaksa atau menghalang apa-apa kuasa yang sah di sisi undang-undang dijalankan.

"Sekiranya wakil rakyat di seluruh negara ditakutkan dan berhadapan dengan risiko ancaman keselamatan atau tindakan yang menyalahi undang-undang akan ditimpa ke atas dirinya, maka ini akan menjejaskan sistem demokrasi di negara kita daripada terus berfungsi," kata Choong Man menerusi satu permohonan usul bersurat kepada Speaker Parlimen pada Khamis.

Isu ini mendapat liputan meluas semua pihak selepas Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa isterinya menerima ugutan berbentuk ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan diri.

Pendedahan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa ancaman politik kini bukan lagi tertumpu kepada wakil rakyat semata-mata, sebaliknya sudah merentasi keluarga mereka.

Sehubungan itu, Choong Man menegaskan tanpa tindakan segera, sentimen ketakutan boleh merebak dan menjejaskan tugas wakil rakyat serta menimbulkan suasana tidak selamat dalam kalangan masyarakat.

Usul tersebut kini menanti pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibahaskan dalam sidang Parlimen.