BAYAN LEPAS - Pulau Pinang mengalu-alukan kedatangan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sekiranya Ketua Pemuda UMNO itu benar-benar mahu menikmati nasi kandar di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain nasi kandar, Pulau Pinang juga terkenal dengan durian dan Muhamad Akmal boleh menikmati raja buah itu di negeri ini.
"Pulau Pinang ada durian juga, jadi kita alu-alukan dia.
"Datang makan-makan, jangan buat kacau," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat dan Makmal Kejuruteraan Baru AMD di GBS by The Sea di sini pada Khamis.
Terdahulu, Muhamad Akmal di dalam Facebook telah menyatakan niatnya untuk datang ke Pulau Pinang pada petang Khamis bagi melihat bendera besar dan menikmati nasi kandar.
Muhamad Akmal berkata demikian selepas Polis Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dijadual diadakan di Bertam, Kepala Batas bagi menjaga keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.
Dalam kenyataannya, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, polis mengambil maklum mengenai penganjuran perhimpunan itu dan menggesa semua pihak bersabar menunggu keputusan Pejabat Pendakwa Raya.
Kenyataan itu dibuat selepas Pemuda UMNO Pulau Pinang menyatakan tujuan mereka untuk hadir ke Kepala Batas sebagai maklum balas kepada kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Dalam pada itu, Kon Yeow juga memohon semua pihak supaya bergerak ke hadapan dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik berikutan kertas siasatan berhubung insiden tersebut sudah diserahkan kepada Peguam Negara.
Kon Yeow berkata, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi kerana semua pihak sudah memainkan peranan termasuk pihak yang membuat aduan serta siasatan polis.
"Mengenai isu tersebut, pihak-pihak yang nak kritik, yang buat aduan, semua sudah jalankan peranan masing-masing. Siasatan pun sudah disempurnakan malah kertas siasatan juga telah diserahkan kepada Peguam Negara.
"Saya percaya ini sudah cukup memadai. Let's move forward," katanya.
Terdahulu, tular video selama 21 saat yang memaparkan seorang lelaki kelihatan sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Video berkenaan dirakam di hadapan sebuah kedai perkakasan di Bertam, Kepala Batas.
Perbuatan lelaki itu mengundang kemarahan warganet yang menganggapnya sebagai tidak menghormati bendera negara, apatah lagi ketika sambutan Bulan Kebangsaan sedang berlangsung.