SHAH ALAM – Kes serangan yang menimpa anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bukan sekadar isu peribadi, tetapi melibatkan keselamatan awam dan kelangsungan demokrasi.
Backbenchers Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terdiri daripada 21 ahli Parlimen menegaskan bahawa dalam negara demokrasi, perbezaan pendapat tidak boleh diselesaikan melalui ancaman atau kekerasan.
Menurut mereka, serangan itu bukan sahaja cubaan menakut-nakutkan seorang pemimpin rakyat, tetapi juga satu bentuk keganasan yang melampaui batas kemanusiaan.
“Dalam negara demokrasi, perbezaan pendapat tidak boleh diselesaikan melalui ancaman atau kekerasan, apatah lagi melibatkan kanak-kanak. Kami menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi.
“Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada tindakan tegas sekiranya terbukti terlibat. Kami juga mengangkat gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh, cepat dan telus agar pelaku dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.
Antara Ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu termasuk Dr Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng), William Leong Jee Keen (Selayang), Amirudin Shari (Gombak), Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Selain itu, Prabakaran Parameswaran (Batu), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak), Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson), Yuneswaran Ramaraj (Segamat), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Onn Abu Bakar (Batu Pahat), Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) dan Chiew Choon Man (Miri).
Dalam kejadian sekitar jam 1.45 tengah hari Rabu, Rafizi berkata, anak tunggalnya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah di Putrajaya.
Kejadian berlaku ketika Ahli Parlimen Pandan itu, isteri, dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan.
Serangan tersebut melibatkan dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
Mengulas lanjut, Backbenchers PKR berkata, serangan tersebut jelas bertujuan mengugut dan memberi amaran kepada seorang wakil rakyat yang lantang memperjuangkan kebenaran.
Sehubungan itu, mereka berikrar berdiri teguh bersama Rafizi demi menegakkan kebenaran.
“Kami merakamkan rasa simpati dan solidariti penuh kepada YB Rafizi Ramli dan keluarga atas kejadian serangan tersebut.
“Ancaman tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus memperjuangkan kebenaran, keadilan dan reformasi demi rakyat. Kebenaran tidak boleh dibungkam walau dengan ugutan dan kekerasan,” tegas mereka.