Nik Nazmi akan terus suarakan isu relevan rakyat

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan terus menyuarakan mengenai isu-isu relevan kepada rakyat di Dewan Rakyat meskipun tidak lagi memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Menurut Nik Nazmi, beliau sebagai ahli Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) akan terus menghormati mandat yang diberikan pengundi yang memilihnya sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pakatan Harapan (PH).

"Di Dewan Rakyat, saya akan bersuara mengenai isu-isu relevan kepada rakyat termasuk hal berkaitan portfolio lama saya iaitu Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

"Apabila tidak lagi menjadi anggota pentadbiran, saya mempunyai kebebasan untuk memberi pandangan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, Nik Nazmi mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai lalu.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menekankan kepentingan peranan semak dan imbang dalam Parlimen termasuk oleh anggota BBC sendiri yang menurutnya sering menjadi antara suara paling lantang dalam hal tersebut.

"Kita bukan sekadar ‘rubber stamp’ kepada perundangan kerajaan. Apa yang betul, saya akan sebut. Apa yang boleh diperbaiki, saya akan sebut. Dan apa yang tidak betul juga saya akan sebut," katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan tidak akan meninggalkan PKR kerana mahu menghormati mandat yang diberikan rakyat.

Katanya, pengalaman politik negara sejak beberapa tahun lalu khususnya antara 2018 hingga 2022 telah menunjukkan betapa rakyat penat dengan fenomena wakil rakyat berpindah parti atau mengubah pendirian.

"Bagi saya, saya tidak akan meninggalkan parti kerana itu mandat yang diberikan kepada saya. Kita telah melihat di masa lalu bagaimana ada yang berubah-ubah dan rakyat Malaysia letih dengan perkara itu," katanya.

Tegasnya, ahli politik sepatutnya berpegang kepada mandat dan prinsip parti, walaupun berbeza pandangan atau kritikal terhadap sesuatu isu.

"Bukan soal bersetuju seratus peratus, tetapi soal memenuhi mandat. Sebagai parti reformasi, saya percaya PKR sentiasa membuka ruang kepada pandangan berbeza," jelasnya.

Nik Nazmi turut merujuk kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang lantang memberi pandangan meskipun berbeza pendirian dalam beberapa isu.

"Saya sering menyebut contoh Hassan Karim yang tetap dalam parti walaupun mempunyai pandangan berbeza. Jadi, saya percaya masih ada ruang untuk saya memainkan peranan dalam parti ini. Selagi ruang itu ada, saya akan kekal," tegasnya.