'Titah Adendum terbukti wujud, bukan lagi khabar angin' - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Rabu membuktikan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak benar-benar wujud dan bukan sekadar khabar angin, tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurutnya, perkembangan tersebut menamatkan spekulasi yang selama ini mendakwa titah itu hanya ‘hearsay’ atau cerita yang tidak dapat disahkan.

“Alhamdulillah, daripada dikatakan dulu hanyalah ‘hearsay’, hari ini dibuktikan benar wujud Titah Adendum tersebut.

“Moga ALLAH SWT sentiasa permudahkan urusan Datuk Seri Najib Razak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Peguam Negara (AG) gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Rabu untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.