Isu bendera terbalik: Dr Akmal tanya MCA dah lapor atau belum terhadap pemilik kedai perkakasan

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemuda MCA kerana membuat satu laporan polis terhadap Pemuda UMNO Terengganu berhubung isu kekurangan jalur pada bendera Jalur Gemilang dalam poster dimuat naik pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya memohon agar polis membuat siasatan rapi, mendakwa dan seterusnya mengenakan hukuman berat walaupun individu dimaksudkan adalah anak buahnya.

Bagaimanapun, Dr Akmal turut mempersoalkan sekiranya parti tersebut akan berbuat perkara sama atau tidak ke atas individu yang terang-terangan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

"Saya juga nak tanya kepada MCA, kamu dah buat laporan polis juga ke terhadap individu yang terang-terangan mengibar bendera secara terbalik dan siap minta direkod?

"Jika tidak, lebih baik kamu buat juga. Takut kamu dianggap berat sebelah kerana tidak berani lapor polis terhadap pelaku tersebut.

"Mereka bersatu bab mereka, kita masih lagi berpecah disebabkan fahaman politik. Bersatulah wahai bangsaku," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

**media[3236132]**

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan video berdurasi 21 saat tular memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala individu lain merakam aksi tersebut.

Polis kemudiannya menahan pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun itu di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Pada Selasa pula, Pemuda UMNO Terengganu didapati menyiarkan grafik dengan imej Jalur Gemilang yang salah di laman Facebooknya dan ia berlaku ketika Dr Akmal mengecam insiden di Pulau Pinang itu.

Grafik tersebut memaparkan Jalur Gemilang beserta gambar hitam putih pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia baru-baru ini.

Bagaimanapun, Jalur Gemilang itu hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 sepertimana sepatutnya dan difahamkan poster berkenaan dipadam serta-merta, diganti dengan hantaran baharu.