Ugut keluar BN bukan budaya MIC - Mani Maran

IPOH - Tindakan segelintir pemimpin MIC mengugut untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) bukanlah budaya sebenar parti itu.

Bekas Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, K Mani Maran berkata, pemimpin masa kini sepatutnya menghargai sejarah perjuangan bersama antara UMNO, MIC dan MCA sejak sebelum merdeka bermula dengan Perikatan sehingga tertubuhnya BN.

Menurutnya, hubungan persahabatan yang terjalin puluhan tahun antara ketiga-tiga parti itu tidak wajar dirosakkan hanya kerana kepentingan peribadi segelintir pihak.

“Ugut-mengugut bukan budaya MIC. Pada pandangan saya, MIC perlu kekal bersama BN dan memperkukuh peranan parti dalam gabungan itu. Prinsip lebih utama daripada mengejar jawatan.

“Adakah keluar BN untuk bergabung dengan PN (Perikatan Nasional) benar-benar menjamin masa depan yang lebih cerah untuk parti dan masyarakat India?” katanya kepada Sinar Harian.

Mani Maran berkata, MIC wajar mengambil iktibar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang tetap setia ketika berada di blok pembangkang tanpa sebarang jawatan, sebelum akhirnya berjaya membentuk kerajaan.

Menurutnya, setiap parti politik pasti berdepan pelbagai cabaran termasuk penolakan pengundi, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat perjuangan.

“Ketika ini, MIC perlu terus bekerja untuk meyakinkan rakyat, khususnya masyarakat India, bahawa kita akan terus membela nasib mereka.

“Kesusahan perlu ditempuh bersama, seperti yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu ketika membentuk gabungan ini,” katanya.

Mani Maran yang juga Ketua Cawangan MIC Kampung Muhibbah Sungai Rela menegaskan, masa depan MIC tidak boleh digadaikan demi agenda pihak tertentu, sebaliknya perlu mempertahankan semangat setiakawan dalam BN.