SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan mengecam kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa orang ramai 'mengunjungi' sebuah premis perniagaan di Kepala Batas berhubung isu Jalur Gemilang dipasang terbalik.
Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong berkata, pihaknya menyifatkan tindakan itu bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang kerana seolah-olah mahu menggalakkan tindakan intimidasi.
Menurutnya, gesaan tersebut memberi gambaran seolah-olah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mahu bertindak seperti pihak berkuasa dan bukan melalui saluran undang-undang yang sepatutnya.
“Malaysia sebuah negara berperlembagaan yang berasaskan kedaulatan undang-undang.
"Sebarang pelanggaran undang-undang termasuk kesilapan memasang Jalur Gemilang harus ditangani mengikut prosedur dan bukannya dengan tindakan intimidasi atau 'mob justice’. Patriotisme tidak boleh dipupuk melalui ugutan, tetapi pendidikan yang konsisten,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kah Leong turut menyifatkan Dr Akmal bersikap hipokrit kerana tidak pernah memobilisasi orang ramai bagi 'mengunjungi' Kementerian Pendidikan Malaysia atau Ibu Pejabat Pas Terengganu yang sebelum ini turut melakukan kesilapan sama.
Beliau menegaskan, peranan wakil rakyat sepatutnya menyatukan rakyat, bukannya membesarkan isu sehingga mencetuskan ketegangan demi gimik politik.
“Negara kita tidak memerlukan 'moral police', sebaliknya memerlukan pemimpin yang mengutamakan keamanan, keharmonian dan integriti undang-undang,” tegasnya.
DAPSY menyeru semua pihak khususnya Dr Akmal agar menghentikan budaya politik konfrontasi yang hanya menambah kebencian serta perpecahan, sebaliknya mengamalkan dialog, pendidikan berterusan dan kesediaan mematuhi undang-undang demi kemajuan negara.