KEPALA BATAS – DAP Pulau Pinang bersetuju untuk menyerahkan kepada polis bagi mengambil tindakan terhadap insiden Jalur Gemilang yang digantung terbalik di Kepala Batas mengikut undang-undang dan prosedur yang sewajarnya.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama Pegawai Penyelaras kepada Ketua Menteri di Kepala Batas, Lay Hock Peng.
Menurutnya, beliau juga telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk memastikan tiada ruang bagi mana-mana pihak melakukan tindakan yang melanggar undang-undang berkaitan insiden ini.
“Di negeri Pulau Pinang, kita mengutamakan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Cara Pulau Pinang menangani sesuatu isu adalah melalui proses perundangan dan dialog yang membina, bukannya melalui kecaman melampau dan provokasi sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Steven Sim yang juga Menteri Sumber Manusia meminta semua masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian ini.
“Marilah bergerak ke hadapan untuk meraikan Hari Kebangsaan dengan semangat perpaduan, saling memahami dan kasih sayang kepada tanah air tercinta,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Batu Kawan, Chow Kon Yeow melahirkan rasa kesal apabila insiden mengibar Jalur Gemilang dengan cara yang tidak berpandukan garis panduan tepat telah dipermainkan untuk tujuan politik yang membawa kesan negatif kepada masyarakat umum.
Menurutnya, DAP Batu Kawan berpandangan bahawa kita sebenarnya boleh memilih pendekatan untuk mengatasi isu sedemikian dengan cara yang lebih humanistik dan berperikemanusiaan.