GEORGE TOWN - Pemuda UMNO Pulau Pinang menegaskan isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik atau tidak mengikut garis panduan bukan perkara remeh dan tidak wajar dipolitikkan.
Ketuanya, Mohd Hilmi Elias berkata, kenyataan DAP Batu Kawan yang menuduh pihak lain mempolitikkan insiden tersebut dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu pokok iaitu kegagalan menghormati simbol kedaulatan negara.
“Jalur Gemilang adalah lambang maruah, kedaulatan dan penyatuan rakyat Malaysia.
"Kesalahan mengibarkannya secara salah sama ada sengaja atau tidak menunjukkan sikap sambil lewa terhadap protokol negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak yang melakukan kesilapan sepatutnya mengakui dan memperbetulkan bukannya menuduh orang lain memainkan isu demi kepentingan politik.
"Insiden seumpama ini membuktikan pendidikan patriotisme perlu diperkasakan termasuk kefahaman asas tentang tatacara penggunaan simbol negara.
“Kami menggesa semua pihak tanpa mengira parti politik supaya memastikan perkara seperti ini tidak berulang. Jika ia berlaku kepada pihak lawan, sudah tentu DAP akan mengeluarkan kecaman keras,” katanya.
Jelas beliau, mempertahankan Jalur Gemilang mengikut garis panduan yang betul bukan agenda politik sebaliknya tanggungjawab semua rakyat Malaysia.
“Mana-mana pihak yang melakukan kesilapan perlu bersikap matang mengakui kesalahan dan menjadikannya pengajaran, bukan mencari kambing hitam,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Batu Kawan, Chow Kon Yeow melahirkan rasa kesal apabila insiden mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang tidak berpandukan garis panduan tepat telah dipermainkan untuk tujuan politik yang membawa kesan negatif kepada masyarakat umum.
Menurut Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, pihaknya memandang serius kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul sebagai manifestasi jati diri rakyat Malaysia yang merdeka dan mempunyai semangat patriotisme.
Kon Yeow berkata, DAP Batu Kawan berpandangan bahawa kita sebenarnya boleh memilih pendekatan untuk mengatasi isu sedemikian dengan cara yang lebih humanistik dan berperikemanusiaan.