Bendera terbalik: Veteran UMNO persoal tindakan DAP bela pelaku

SHAH ALAM - Veteran UMNO mempersoal tindakan DAP yang didakwa membela individu terlibat dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak sepatutnya menuduh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh cuba mempolitikkan isu tersebut kerana ketegasan dalam mengkritik perbuatan itu tidak ada kaitan dengan agenda politik.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan adalah demi mempertahankan maruah bendera negara yang didakwa sengaja dipasang secara terbalik.

"Buktinya Jalur Gemilang itu dikibarkan dan dirakam gambarnya. Kalau tidak disengajakan untuk apa diambil gambar dan diedarkan?

"Ini menunjukkan kedua-dua pelaku sedar dan dengan sengaja memperlekeh serta menghina bendera negara.

"Yang hairannya mengapa DAP beria-ria sangat membela pelaku itu? Adakah pelaku itu ahli atau kader DAP? Atau apakah perlakuan itu dirancang oleh DAP?," soalnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengajak orang ramai bersama-sama ‘mengajar’ dua individu di Bertam, Pulau Pinang itu cara yang betul memasang Jalur Gemilang pada Isnin ini.

Polis bagaimanapun telah menahan seorang pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sehubungan itu, Loke mengingatkan agar tiada pihak yang 'menangguk di air keruh' dengan mengambil kesempatan terhadap insiden tersebut, kerana perbuatan itu lebih menyerupai pembuli dan jelas ditolak oleh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihaknya kesal kerana masih ada pihak yang cuba mencabar kerajaan dan memperlekehkan 3R.

"Mereka tahu ketegasan kerajaan hanya dengan amaran tanpa tindakan. Mereka boleh buat salah. Mereka boleh minta maaf. Mereka akan disiasat dan diberi amaran. Selepas itu tutup buku.

"Sekiranya kerajaan tidak bertegas dalam 3R ini maka Veteran UMNO bimbang bukan saja Jalur Gemilang dipersendakan tapi agama dan Raja-Raja akan diperlekehkan," katanya.