Md Ysahruddin kekal Timbalan Pengerusi PKR Johor, Mohd Khuzzan dilantik setiausaha

JOHOR BAHRU – Ketua Cabang Bakri, Md Ysahruddin Kusni kekal sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor bagi penggal 2025–2028, manakala mantan Exco Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha.

Pelantikan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPN PKR Johor yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Ibu Pejabat PKR Johor pada Sabtu.

Md Ysahruddin yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning itu dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi PKR dalam mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR Johor.

Mesyuarat MPN PKR Johor itu adalah yang pertama sejak Dr Zaliha dilantik sebagai Pengerusi PKR Johor oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dihadiri kesemua 26 Ketua Cabang, enam Ahli Parlimen, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ketua dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri dan Wanita Negeri.

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju melantik Mohd Khuzzan Abu Bakar, mantan Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor yang kini Timbalan Pengerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sebagai Setiausaha PKR Johor, manakala Khairil Adanan, Ketua Cabang Mersing pula akan menerajui Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN).

Pelantikan lain yang dimuktamadkan termasuk Naib Pengerusi MPN iaitu Dr Maszlee Malik yang juga Ketua Cabang Simpang Renggam dan mantan Menteri Pendidikan; Ahli Parlimen Tebrau dan mantan Exco Kerajaan Negeri Johor; Jimmy Puah serta Ketua Cabang Segamat, Shamala Vasudevan.

Dr Zaliha berkata, mesyuarat itu adalah yang pertama sejak beliau dilantik oleh MPP baru-baru ini dan menjadi platform penting memantapkan organisasi parti di negeri itu.

"PKR Johor akan memastikan jentera sentiasa bersiap siaga dalam mendepani cabaran politik semasa dengan strategi yang tersusun, berpaksikan kepada agenda reformasi.

"Mesyuarat turut menegaskan komitmen untuk mempererat dan memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (PH) demi memastikan kestabilan politik, serta membawa semangat dan agenda Kerajaan Madani di Negeri Johor," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dengan kesepaduan organisasi dan semangat kerja berpasukan yang mantap, PKR Johor mampu memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh kedudukan parti di negeri itu, sekali gus menjadi wadah perjuangan yang kukuh dan membawa negeri ke arah masa depan lebih progresif.