Pas, Bersatu Pahang perkukuh taawun siyasi hadapi PRU16

KUANTAN – Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang memperkukuhkan taawun siyasi antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama susulan pertemuan pimpinan kedua-dua parti yang telah diadakan dengan jayanya.

Menurut kenyataan tersebut, pertemuan bersejarah itu dilaksanakan bagi memperkenalkan kepimpinan baharu sesama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang telah dipilih di peringkat bahagian dan kawasan.

“Di samping memperkukuhkan lagi hubungan taawun siyasi yang telah terjalin erat, khususnya dalam menghadapi cabaran PRU16 yang bakal menjelang tiba.

“Dengan membawa tagline PN Teraju Pahang, kedua-dua parti berkomitmen penuh untuk mengekalkan perpaduan dan kerjasama strategik bagi memastikan PN terus menjadi alternatif terbaik kepada rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Kenyataan itu menjelaskan, dalam pertemuan tersebut turut dibincangkan secara terperinci mengenai kebersamaan dalam menjayakan Program Himpunan 30 Ribu (H30K) bertemakan Hogoh Jelai yang akan berlangsung pada 18 dan 19 September ini.

Tambah kenyataan itu, program mega ini akan menjadi platform penting bagi kedua-dua parti untuk mempamerkan kekuatan perpaduan PN.

“Ia sekali gus menyampaikan mesej politik yang jelas kepada rakyat tentang visi dan misi bersama menuju masa depan yang lebih cerah,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, parti itu yakin pertemuan ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkasakan agenda perjuangan mereka bersama di peringkat negeri.

“Kami berharap kerjasama yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan dan menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang, khususnya dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat Pahang dan Malaysia kepada kepimpinan PN,” kata kenyataan itu.