ALOR SETAR - MIC Kedah menegaskan bahawa parti itu tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak untuk menentukan masa depan politik mereka, termasuk keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik.
Pengerusinya, S K Suresh berkata, keutamaan parti adalah memperjuangkan masa depan masyarakat India dan memastikan suara komuniti itu terus didengar dalam arus politik negara.
“Kami tidak perlu meminta kebenaran sesiapa untuk memutuskan masa depan kami dalam politik negara.
“Masa depan masyarakat India adalah keutamaan kami, dan kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak demi kebaikan parti dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan balas kepada UMNO Kedah pada Jumaat.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang menyindir keputusan MIC Kedah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Suresh mempertikaikan pendirian UMNO Kedah yang didakwa bersikap hipokrit apabila menjalin hubungan politik dengan DAP, parti yang sebelum ini lantang menentang kepimpinan UMNO.
Beliau turut menyentuh tindakan pemimpin UMNO yang keluar parti serta penghinaan yang pernah dilemparkan oleh pemimpin DAP terhadap UMNO, namun kini kedua-dua parti dilihat bekerjasama secara terbuka.
Suresh turut memberi amaran agar UMNO Kedah tidak terus mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, sambil menyatakan bahawa MIC bersedia mendedahkan insiden lampau jika perlu.
Pada Sabtu, media melaporkan MIC Kedah sebelum ini meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN, namun keputusan muktamad masih tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan pusat parti itu.