GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dipertanggungjawabkan kerana didakwa menyampaikan maklumat tidak tepat di Parlimen berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urumai), P Ramasamy berkata, Anwar sepatutnya terlebih dahulu mengesahkan kesahihan video di TikTok yang didakwa menunjukkan Muhyiddin mempertahankan pemberian subsidi minyak kepada warga asing.
“Semakan seterusnya mengesahkan bahawa Muhyiddin tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.
“Anwar seharusnya memastikan ketepatan video tersebut sebelum membuat tuduhan terhadap Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun mempunyai ramai kakitangan dan sumber untuk menyemak fakta, Anwar didakwa gagal mengesahkan kandungan video itu sebelum mengaitkan kenyataan palsu kepada Ketua Pembangkang.
Ramasamy berkata, setelah mengetahui maklumat tersebut tidak benar, Anwar sepatutnya memohon maaf sama ada di dalam atau di luar Parlimen.
“Apa yang diminta oleh Muhyiddin hanyalah permohonan maaf yang mudah. Namun, Anwar yang dilindungi oleh keistimewaan Parlimen tahu beliau tidak boleh disaman kerana fitnah dalam Dewan.
“Jika benar yakin dengan dakwaan itu, beliau perlu mengulanginya di luar Parlimen,” katanya.
Beliau menambah, adalah tidak wajar bagi seorang Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tidak benar di Parlimen sedangkan agensi kerajaan dengan peruntukan besar wujud untuk mengesahkan maklumat.
“Tindakan menyebarkan kepalsuan terhadap anggota pembangkang melemahkan integriti proses Parlimen.
“Tindakan Anwar memutar belitkan pendirian Muhyiddin adalah pelanggaran serius terhadap peraturan dan etika Parlimen,” katanya.
Ramasamy menegaskan, Anwar tidak boleh dibiarkan terlepas daripada isu tersebut kerana kebertanggungjawaban dan kebenaran perlu ditegakkan di badan perundangan tertinggi negara.
Sebelum ini, Anwar dalam sidang Dewan Rakyat mendakwa Muhyiddin pernah membuat kenyataan seolah-olah mempertahankan pemberian subsidi petrol kepada warga asing.
Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian dan mendesak Anwar memberikan bukti atau memohon maaf kerana memfitnah beliau.
Isu itu berlarutan apabila Anwar mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penafian Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.