SHAH ALAM – Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima keahlian bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerima reaksi sinis Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau menempelak PKR kerana UMNO sejak awal lagi menegaskan pendirian bahawa keahlian Tengku Zafrul tidak sepatutnya diterima mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan ketidakharmonian.
“Terima kasih PKR kerana memberi kami akar umbi UMNO erti sebenar kerajaan perpaduan ini.
“Amaran dah diberi tetapi tetap juga dilakukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Akmal turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Tengku Zafrul, namun secara sinis mempersoalkan penerimaan akar umbi PKR terhadap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu.
“Good luck Tengku Zafrul, moga akar umbi PKR boleh menerima kamu. Kita jumpa nanti di pilihan raya,” ujarnya.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai PKR sudah diterima dua minggu lalu.
Tengku Zafrul berkata, beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.