Pemuda Amanah kutuk tindakan kibar Jalur Gemilang terbalik

KEPALA BATAS – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang mengecam tindakan seorang lelaki yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan di negeri ini yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap maruah negara.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Muhamad Khairul Mohd Ali berkata, kejadian di hadapan kedai perkakasan itu dilakukan oleh seorang individu tidak dikenali, sama ada secara sengaja atau tidak, namun tetap memberi kesan besar terhadap perasaan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan, Jalur Gemilang adalah lambang darah, keringat dan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang wajib dihormati.

“Mengibarkannya secara terbalik adalah tindakan tidak beradab, tidak patriotik dan tidak boleh diterima.

“Perbuatan ini seolah-olah mahu mencabar maruah negara dan mempermainkan hati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, insiden itu dilihat sebagai provokasi murahan yang mampu mengundang kemarahan rakyat, apatah lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang sepatutnya menyatukan seluruh masyarakat.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah Pulau Pinang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang paling tegas terhadap individu terbabit bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Jangan cabar maruah Jalur Gemilang. Kesabaran rakyat ada hadnya,” katanya lagi.

Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki kelihatan sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.

Difahamkan, video berkenaan dirakam di hadapan sebuah kedai perkakasan di Bertam, di sini.

Perbuatan lelaki itu mengundang kemarahan warganet yang menganggapnya sebagai tidak menghormati bendera negara, apatah lagi ketika sambutan Bulan Kebangsaan sedang berlangsung.

Setakat ini, polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.