ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) Kedah mengambil maklum keputusan MIC negeri itu yang meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, jika itu adalah kehendak akar umbi MIC Kedah, maka BN Kedah mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
“BN Kedah tidak pernah gentar dengan sebarang perubahan landskap politik, apatah lagi jika ia melibatkan perpisahan jalan dengan mana-mana parti komponen.
“Sejarah telah membuktikan bahawa BN Kedah mampu berdiri teguh, bergerak ke hadapan dan terus mendapat mandat rakyat walaupun tanpa bantuan mereka yang memilih untuk berpaling arah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, MIC Kedah bebas membuat pilihan politik sendiri, namun BN Kedah tidak akan berkompromi dengan prinsip kesetiaan dalam perjuangan politik.
“Biarlah jelas kepada semua, apabila pintu ini dibuka untuk keluar, jangan pula suatu hari nanti datang menuntut ruang, kerusi atau keistimewaan dalam BN setelah mengangkat tangan menyokong pihak lawan.
“Kesetiaan bukan barang mainan yang boleh digadai pada musim pilihan raya dan ditebus kembali apabila keadaan mendesak,” ujarnya.
Shaiful Hazizy berkata, jika MIC Kedah memilih untuk bersama PN, ia adalah isyarat jelas bahawa mereka tidak lagi mahu bersama BN dalam membina kekuatan politik bersama.
“BN Kedah tidak akan merayu, tidak akan berkompromi dan tidak akan mengemis sokongan daripada mereka yang sudah membuat pilihan.
“Kami yakin MIC Kedah sudah membuat perkiraan yang mereka anggap terbaik untuk masa depan politik mereka. BN Kedah pula akan terus bergerak, membina kekuatan sendiri dan memastikan mandat rakyat tetap terpelihara,” katanya lagi.
Tambah beliau, kehilangan rakan yang tidak lagi sehaluan bukanlah satu kerugian, sebaliknya peluang untuk BN Kedah bergerak lebih laju dan fokus tanpa beban menjaga hati mereka yang sudah tidak bersama.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan MIC Kedah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada BN.
Bagaimanapun, Pengerusi MIC Kedah, S K Suresh, menjelaskan bahawa keputusan muktamad berhubung perkara itu akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti tersebut.
Katanya, jawatankuasa kerja pusat MIC tidak pernah membincangkan soal keluar BN atau bekerjasama dengan PN setakat ini.