PENAMPANG – Terlalu banyak campur tangan dan isu perebutan kerusi dengan rakan pakatan menyebabkan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengambil keputusan untuk meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bekas Ketua Menteri Sabah itu menegaskan tiada sebarang kerjasama dengan mana-mana parti dan kekal dengan keputusan bahawa Warisan akan bertanding di kesemua kerusi DUN Sabah.
“Terlalu banyak campur tangan dari KL (Kuala Lumpur). Kekayaan kita, sistem kita. Saya rasa bukan begitu keadaannya. Kita tidak mahu terikat dengan pihak yang mempunyai agenda tertentu.
“Bila berbincang dengan UMNO, mereka mahu 20 kerusi; berbincang dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka mahu 23 kerusi; berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mereka mahu 40 kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis bersama masyarakat Cina DUN Kapayan, di sini, pada Sabtu.
Katanya lagi, perebutan kerusi antara parti tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat sekiranya isu keperluan asas masih belum diselesaikan.
“Adakah itu penting bagi rakyat Sabah? Tidak. Apa yang penting? Air, elektrik, pekerjaan, makanan, itu yang penting, bukannya kerusi,” tegasnya.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu mengumumkan Warisan akan meletakkan calon di kesemua kerusi DUN Sabah pada PRN17.
Beliau turut memaklumkan bahawa parti itu juga telah bersedia sepenuhnya dengan barisan calon berpotensi yang menepati kriteria ditetapkan parti, termasuk kebolehmenangan dan komitmen terhadap perjuangan parti serta rakyat.