SHAH ALAM – Orang ramai diminta memberi ruang dan kepercayaan penuh kepada polis serta Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melengkapkan siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir secara telus, adil dan menyeluruh.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, keadilan untuk adik Zara Qairina adalah tanggungjawab bersama, namun ia mesti dicapai melalui fakta dan proses undang-undang yang betul.
“Kita tidak mahu kebenaran terhalang hanya kerana kita tergesa-gesa menjatuhkan hukuman di medan media sosial.
“Kebenaran itu tidak akan hilang, sebaliknya ia akan ditemui jika kita bersabar dan berpegang pada proses yang betul,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mahfuz turut meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat tuduhan melulu di media sosial.
“Hormati keluarga arwah dengan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, dan mendoakan ketenangan serta kesabaran untuk mereka sekeluarga,” katanya lagi.
Beliau berkata, pelbagai versi cerita, dakwaan dan spekulasi telah tersebar sejak kes terbabit tular.
“Ada yang menuduh, ada yang membela dan ada yang membuat kesimpulan sendiri tanpa menunggu hasil siasatan. Keadaan itu tidak membantu keluarga arwah, malah berpotensi mengganggu siasatan pihak berkuasa,” tegas Mahfuz.
Menurutnya, seluruh rakyat Malaysia berduka dan bersedih atas pemergian pelajar Tingkatan Satu tersebut.
“Kehilangan itu bukan sahaja meninggalkan luka di hati keluarga, malah membangkitkan keresahan seluruh rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berasrama,” ujarnya.