Misi trio bekas MB, menteri rampas Selangor

SHAH ALAM - Dua bekas Menteri Besar Selangor dan seorang bekas menteri Kabinet akan bergabung tenaga membawa misi merampas kembali Selangor selepas 17 tahun dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ia adalah tugas pertama yang diamanahkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya apabila menyertai parti itu pada 1 Julai lalu.

Bagi melaksanakan misi tersebut, beliau akan bekerjasama dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan bekas tokoh UMNO Selangor yang pernah menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

“Itu adalah tugasan saya yang pertama, untuk ambil balik Selangor dan saya akan buat yang terbaik.

“Mereka (sebilangan pemimpin UMNO) kata saya ada tak menambah, tak ada tak mengurang. Jadi, kita lihat sahaja pilihan raya akan datang. Saya dah jumpa dengan Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Mohamed Azmin.

“Saya kata, saya tak harapkan apa-apa. Saya nak satu sahaja tujuan iaitu selepas pilihan raya nanti, kita mesti nak Melayu jadi parti dominan dalam kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau sebelum itu menjadi panel program Interviu yang dihoskan Haizir Othman, bertajuk 'Dari UMNO ke Bersatu: Episod Baharu Khir Toyo Dalam Politik Malaysia' yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

**media[3231437]**

Mohamad Khir dan Mohamed Azmin masing-masing menjadi Menteri Besar daripada UMNO dan PH pada 2000-2008 dan 2014-2018.

Tambah Mohamad Khir, berdasarkan perkiraan di atas kertas, UMNO tidak mungkin akan menjadi dominan dan mengetuai kerajaan di Selangor kerana akan bekerjasama dengan PH.

“Sekarang ini, kalau kita kira, UMNO tak mungkin (ketuai kerajaan di Selangor) sebab mereka dah kata akan bekerjasama dengan PH. Sudah tentu mereka tidak akan bertanding di kerusi PKR.

“Tak ada Perdana Menteri yang nak beri kerusi lebih kepada UMNO daripada PKR. Tak akan dapat. Jadi, siapa yang dominan? Yang ada, hanya tinggal Pas dan Bersatu,” jelasnya.

Dalam Pilihan Raya Negeri Selangor pada 2023, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) dengan 22 kerusi. BN hanya menang dua kerusi.

Mengenai mengapa beliau memilih Bersatu dan bukannya Pas, Mohamad Khir berkata, beliau mahu membantu memperkukuh parti yang masih memerlukan penambahbaikan, sedangkan Pas merupakan sebuah parti yang sudah stabil dan mempunyai sumber mencukupi.

“Pas ada jemput saya. Saya kata, mereka sudah cukup bagus (berpengalaman), jadi tidak ada masalah (berbanding Bersatu parti baharu),” katanya.

Tambah Mohamad Khir, tawaran untuk menyertai Bersatu sudah lama dibuat Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu kira-kira dua tahun lalu.

“Sebenarnya dua tahun lepas, saya ada jumpa dengan Tan Sri Muhyiddin di tempat kenduri kawan saya. Dia tawar kepada saya tapi saya kata, nantilah,” katanya yang tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pemimpin UMNO yang akan menyertai Bersatu selepas ini.