'Kenyataan Khir Toyo bukti beliau tidak lagi relevan' - Mohd Puad

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang menganggap UMNO tidak akan menjadi lebih daripada sekadar supplement kepada Pakatan Harapan (PH) membuktikan beliau tidak lagi relevan dan naif tentang trend politik baharu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan tersebut turut menunjukkan bahawa matlamat sebenar Mohamad Khir adalah untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kalau kekal dalam UMNO dia (Mohamad Khir) tidak berpeluang bertanding. Beliau kecewa kerana PRU15 dia tidak dicalonkan.

“Sebab itu Mohamad Khir kata beliau pilih sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), amat cetek alasannya. Itu membuktikan beliau tidak lagi relevan dan naif tentang politik baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujar Mohd Puad, tidak ada parti boleh kekal dominan dan trend kongsi kuasa dijangka akan berterusan untuk dua atau tiga PRU akan datang.

Menurutnya, setakat ini hanya Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura kekal sebagai parti dominan tunggal manakala 77 negara lain terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Dalam konteks Selangor, apa-apa mungkin berlaku. Apakah Mohamad Khir buta, di Perak dan Pahang UMNO tidak dominan tetapi UMNO diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Menteri Besar.

“Tidak ada sebab UMNO tidak bercita-cita untuk kembali dominan tetapi ia perlu kepada kebijaksanaan bukannya dengan isu ‘penyapu’ yang menjadi sejarah hitam kepada UMNO di Selangor hingga ke hari ini,” ujarnya.

Tambah Mohd Puad, kehilangan kuasa UMNO di Selangor juga didakwa berpunca akibat tindakan Mohamad Khir yang dikaitkan dengan isu anugerah penyapu pada 2007.