SHAH ALAM – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menegur kepimpinan parti itu yang didakwanya telah lari daripada landasan perjuangan asal susulan tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Noh berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Mohamad Khir kerana melihat semakin ramai pemimpin dan ahli UMNO kini beralih arah mencari wadah politik baharu yang dilihat lebih selari dengan perjuangan asal orang Melayu.
“Bagi saya, kita tak kisah siapa pun hendak masuk mana-mana parti kerana itu hak masing-masing, tapi bila sudah ramai orang UMNO pilih Bersatu, itu maknanya ada sesuatu yang tak kena dalam UMNO sekarang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Noh, beliau sendiri melihat UMNO di bawah pimpinan sekarang seolah-olah sudah menyimpang daripada perjuangan asal yang menegakkan hak Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja.
“Saya nampak Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ini hendak bawa parti ke mana pun saya tak pasti.
“Bila beliau bangga sangat wakil DAP hadir Kongres Ekonomi Bumiputera, itu pun dah cukup jelas hala tuju UMNO hari ini,” tambah beliau.
Noh turut menganggap kemunculan Bersatu kini ibarat ‘bas baharu’ yang menjadi pilihan kepada mereka yang kecewa dengan hala tuju UMNO.
“Parti baharu ini mungkin jadi tempat baharu untuk orang Melayu berlindung. Nak harap UMNO, tapi kalau terus sembunyi bawah DAP dan PH (Pakatan Harapan), sampai bila pun tak akan bangkit,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Noh menegaskan, perjuangan Melayu tidak akan subur jika parti Melayu sendiri terlalu bergantung atau bekerjasama rapat dengan parti seperti DAP.
“Kita tengok semua parti Melayu yang rapat dengan DAP, akhirnya tenggelam. Bila ada perjanjian untuk tak bangkitkan soal Melayu, Raja-Raja dan Islam, itu sebenarnya tanda-tanda perjuangan sudah longgar,” katanya.
Beliau turut menyindir kenyataan pimpinan UMNO yang menurutnya terlalu akur dengan kehendak pihak lain dan sanggup ‘mengorbankan’ asas perjuangan parti.
“Bila Presiden parti sendiri bangga wakil DAP hadir program Bumiputera, tak ada rasa pelik pun, itu tandanya dia dah tak kisah pasal akar perjuangan,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Mohamad Khir mengesahkan beliau menyertai Bersatu meskipun sedar tindakannya itu bakal mengundang pelbagai tohmahan dan kecaman.