SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mengesahkan beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun sedar tindakannya itu bakal mengundang pelbagai tohmahan dan kecaman.
Mohamad Khir berkata, beliau sudah lali dengan pandangan serong sesetengah pihak dan tidak berhasrat untuk memuaskan hati mereka yang sudah sejak awal membenci dirinya.
"Saya sedar banyak tohmahan bila tersebar berita bahawa saya telah memilih untuk menjadi ahli Bersatu.
"Bagi mereka yang tidak senang dengan saya, pasti berjuta perkara memburuk-burukkan dan mengutuk saya akan dihidang di semua media,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau turut menyifatkan adalah satu kebodohan untuk terus hidup dalam bayang-bayang pandangan negatif orang lain, apatah lagi jika perkara itu hanya memberi kepuasan kepada musuh politik.
"Jangan sampai kita tidak mahu move on kerana pandangan orang yang bencikan kita. Mereka akan sangat gembira bila kita gagal dalam kehidupan,” ujar beliau.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata, keputusannya menyertai Bersatu atas dasar kepercayaan kepada kejujuran kepimpinan parti tersebut dalam memperjuangkan nasib bangsa dan masa depan negara.
"Bersatu akan bertanding dengan jumlah kerusi yang mencukupi untuk mereka membentuk kerajaan sama ada di Selangor mahu pun di peringkat negara.
"Soal kalah menang itu ketentuan Ilahi,usaha mesti kita lakukan,cita cita mesti kita perlihatkan dengan kesungguhan," jelas beliau.
Menurut beliau, Bersatu kini telah menggantikan UMNO dari segi kerusi Parlimen yang jauh lebih besar berbanding parti lamanya.
Mengulas kedudukan UMNO yang kini bersama kerajaan perpaduan, beliau berkata, beliau tidak melihat parti itu mampu kembali dominan jika hanya bertanding kerusi lebih sedikit berbanding rakan gabungan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"UMNO telah menjadi parti 'supplement' kepada PH (Pakatan Harapan).!Saya tidak mahu berjuang dalam parti yang hanya sekadar pelengkap kepada parti lain,” katanya.
Mengimbau kembali jasanya dalam UMNO, Mohamad Khir menyatakan penghargaan kepada parti itu dan juga kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memberi kepercayaan kepadanya menerajui negeri Selangor.
Dalam nada rendah diri, Mohamad Khir turut menjelaskan beliau kini bukan lagi individu yang bercita-cita besar dalam politik, sebaliknya hanya ingin menyumbang tenaga masih berbaki untuk melihat negara dipimpin oleh pemimpin Melayu yang adil.
"Saya orang kecil, tidak ada cita-cita besar.
Izinkan saya menghabiskan sisa-sisa kudrat yang ada untuk pastikan pimpinan negara dikuasai oleh pemimpin Melayu yang mampu memberi keadilan kepada semua, seperti yang pernah UMNO lahirkan dahulu,” katanya.
Mohamad Khir turut menitipkan peringatan diri beliau bukanlah insan sempurna dan tidak memerlukan pujian mahupun cerca.
"Jika saya sampah, maka tak perlu kamu ceritakan keburukan saya. Jika saya kaca, tak perlu kamu ceritakan kilauan palsu saya.
"Jika saya intan, tak perlu ceritakan indahnya kilauan kerana saya akan tetap insan yang hanya mencari pujian dan keredaan Ilahi,” tambah beliau.