JOHOR BAHRU – Ketua Cabang PKR Pulai, Faezuddin Puad dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor yang baharu.
Pelantikan itu dibuat susulan keputusan kepimpinan AMK Pusat yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui sayap pemuda parti di negeri ini.
Bekas Naib Ketua AMK Johor itu menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu tanggungjawab besar yang akan digalas sebaik mungkin demi memperkukuh jentera parti di peringkat negeri.
“Langkah awal saya bersama Timbalan Ketua AMK Johor, Sharwin Subra ialah membentuk Jawatankuasa AMK Negeri dan turun padang ke setiap cabang bagi mendengar sendiri pandangan akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa AMK Johor akan memperkukuh kerjasama dengan Pengerusi Keadilan Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa serta barisan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi memastikan segala gerak kerja selari dengan hala tuju negeri.
“Selain itu, kami juga akan menjalin hubungan lebih erat dengan rakan-rakan pemuda dalam Pakatan Harapan (PH) serta komponen Kerajaan Perpaduan di Johor,” ujarnya.
Faezuddin berkata, AMK Johor bertekad untuk menjadi tulang belakang penting bagi memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya negeri akan datang serta menyumbang kepada kejayaan agenda Malaysia Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.