Pas terbuka kerjasama asalkan selari perjuangan – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa parti itu terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak selagi selari dengan matlamat perjuangan gabungan itu.

Menurutnya, matlamat itu sejajar dengan Perikatan Nasional (PN) yang turut mengalu-alukan gabungan semua pihak bagi membina Malaysia yang lebih baik.

"Saya rasa kerjasama bukan hanya dengan MIC atau MCA, bahkan semua pihak yang mempunyai cita rasa sama dengan perjuangan PN untuk memperjuangkan sebuah negara yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

"Kita mengajak semua pihak termasuk NGO dan mana-mana parti politik yang ada dalam negara ini untuk bersama PN.

"Itu juga selaras dengan apa yang saya faham tentang perjuangan gabungan ini," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Ahmad Samsuri diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang sebelum ini menyatakan bahawa PN terbuka menerima parti-parti lain bagi memperkukuh kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Hashim turut menjelaskan bahawa Pas secara dasarnya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan pelbagai parti, kecuali DAP, namun ia perlu melalui rundingan lanjut di peringkat tertinggi gabungan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Pas mengambil pendekatan sama seperti PN dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, ketika ini jentera Pas telah turun di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah bagi membantu jentera tempatan PN.

"Di pihak Pas, saya percaya langkah sedang diambil seiring dengan pendekatan PN untuk terlibat dalam PRN Sabah.

"Keputusan akhir secara, rasmi mengenai bentuk kerjasama politik di Sabah dijangka diumumkan dalam masa terdekat," ujarnya.