Akmal Saleh mesti mohon maaf kepada OKU, DAPSY - Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh didesak supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan komuniti orang kurang upaya (OKU) susulan kenyataan didakwa menghina dibuatnya baru-baru ini.

Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan, Yap Yee Vonne berkata, tindakan Muhamad Akmal yang didakwa memperlekehkan lelaki istimewa yang terlibat dalam kontroversi Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah sekolah itu tidak sewajarnya berlaku.

Menurutnya, selaku individu bergelar wakil rakyat dan pernah berkhidmat sebagai doktor perubatan sebelum ini, beliau sepatutnya lebih memahami golongan berkenaan.

"Adakah (Muhamad) Akmal cuba menyatakan bahawa golongan OKU kurang bernilai? Kurang layak? Kurang berkemampuan?

"Jika Akmal tiada apa-apa yang lebih hormat atau membina untuk diperkatakan, lebih baik diam sahaja. Sebagai seorang pemimpin, kata-kata anda mempunyai kesan yang besar. Kenapa memilih untuk mendefinisikan dan menghina keseluruhan komuniti dengan cara yang sebegini?

"Akmal mesti membuat permohonan maaf secara terbuka bukan hanya kepada pemimpin DAPSY tetapi kepada seluruh komuniti OKU," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau sebelum ini membuat hantaran di laman sosial miliknya meminta agar DAPSY yang mengkritik beliau turut diberikan status OKU.

Kenyataan itu dibuat susulan respons kepada Penolong Setiausaha Pemuda DAP, Edmund Lim yang mengecamnya berhubung Jalur Gemilang dipasang terbalik di sekolah vernakular di Port Dickson.

Mengulas lanjut, Yee Vonne berkata, sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, Muhammad Akmal sepatutnya berdiri bersama-sama memperjuangkan golongan istimewa itu, bukan terus memberi persepsi negatif terhadap kumpulan berkenaan.

Katanya, dengan sikap tidak sensitif terhadap OKU yang ditunjukkan pemimpin politik itu ia boleh mengurangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam merangka dasar yang adil dan saksama.

"Isu yang melibatkan kejadian bendera terbalik di SJK(C) Port Dickson kini sedang disiasat oleh Kementerian Pendidikan dan pihak polis. Jika terdapat unsur kecuaian saluran undang-undang yang sewajarnya akan digunakan.

"Tiada keperluan untuk mengambil kesempatan politik atau membangkitkan isu perkauman secara tidak wajar," katanya.