SHAH ALAM - Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi mengesahkan menerima notis tuntutan (LOD) daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung isu karikatur monyet yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.
Menurut Nabil, ketika ini beliau sedang meneliti kandungan surat yang diterimanya pada Selasa.
"Saya sedang meneliti kandungan surat tersebut dan akan mendapatkan nasihat perundangan serta memberikan arahan lanjut kepada peguam saya bagi tindakan yang sewajarnya.
"Saya kekal komited untuk mempertahankan hak saya sebagai warganegara yang bebas bersuara dan yakin perbezaan pandangan dalam ruang demokrasi tidak seharusnya disalahertikan atau dijadikan alasan untuk menyekat kritikan yang membina," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas minggu lalu memaklumkan, beliau akan memulakan prosiding saman terhadap dua pemimpin kerajaan berhubung isu tular karikatur monyet yang dikaitkan dengannya.
Beliau berkata, isu berkenaan dilihat sudah semakin reda namun bahan-bahan bukti berkaitan kes tersebut telah banyak dikumpulkan.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli didakwa menghina peranan rasmi Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja menerusi satu karikatur yang dimuat naik dalam hantaran di Facebooknya.
Hantaran tersebut memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri simbolik yang dianggap sebagai sindiran biadab terhadap usaha murni kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN.