Cukup politik ego, fokus masalah rakyat - Nurulhidayah

SHAH ALAM - Semua pihak, khususnya dalam kalangan kepimpinan tertinggi dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN), perlu kembali kepada prinsip asal perjuangan iaitu berkhidmat untuk rakyat, dan bukannya untuk kelompok kecil dalam parti.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, jangan kerana ingin menegakkan ‘kebenaran’ masing-masing, kepercayaan rakyat yang semakin lama semakin terhakis dikorbankan akibat ego segelintir pemimpin.

"Tempoh masa kita semakin singkat untuk bekerja. Sedarlah bahawa kita hanya merupakan sebahagian kecil dalam kerajaan yang terbentuk kini, dan fokus utama kita adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada BN.

"Benar, ia bukan mudah. Namun, saya juga yakin ia tidak mustahil dengan usaha serta kemampuan untuk duduk semeja, berbincang secara bijaksana dan terus bekerja demi masa depan rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambahnya, rakyat sudah cukup trauma dengan pelbagai krisis yang berlaku akibat kegagalan pemimpin meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perbalahan politik.

Menurut Nurulhidayah, beliau terpanggil untuk bersuara apabila melihat polemik ‘tarik tali’ berkaitan isu keluar masuk komponen parti semakin rancak diperdebatkan secara terbuka, seolah-olah tumpuan utama bukan lagi kepada denyut nadi rakyat, tetapi lebih kepada mempertahankan kedudukan dan kepentingan politik masing-masing.

“Cukuplah politik dan ego. Mari kita kembali kepada rakyat. Saya mohon maaf sekiranya ada yang terasa hati. Cukup-cukuplah menjadi 'batu api'.

“Dengan tidak berniat mencampuri urusan kepimpinan tertinggi parti, sebagai salah seorang pelapis kepimpinan, saya telah melihat dan memahami bagaimana politik sepatutnya menjadi ruang untuk berbakti kepada rakyat — bukan medan mempertontonkan perbezaan dan ego,” katanya.

Nurulhidayah menambah, rakyat sedang bergelut dengan isu kos sara hidup, harga barang yang tidak menentu, keperluan pendidikan berkualiti untuk anak-anak dan pelbagai cabaran harian. Namun begitu, apa yang dilihat di media sosial hanyalah pergolakan dalaman parti, kenyataan keras dan ancaman keluar parti yang membuka ruang kepada perdebatan dan fitnah.

“Sejujurnya, rakyat tidak peduli siapa mahu keluar atau kekal dalam parti. Apa yang mereka mahu ialah siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka, memantau dan membela nasib mereka.

“Apa yang saya lihat sangat jelas — rakyat makin hilang kepercayaan apabila pemimpin lebih sibuk bergaduh daripada berkhidmat. Politik bukan tentang siapa lebih lantang, siapa lebih berpengaruh atau siapa mahu tunjuk kecewa.

“Politik sebenar ialah tentang siapa yang tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat, walaupun difitnah, diuji atau ditinggalkan teman seperjuangan.

“Sebarang perbezaan dalam kalangan komponen parti harus diselesaikan secara tertutup, beradab dan penuh hikmah. Kita tidak boleh biarkan isu ini terus menjadi tontonan umum sehingga membuka ruang kepada perpecahan yang lebih dalam, malah dimanipulasi oleh pihak lawan,” katanya lagi.