SHAH ALAM - MCA tidak mempunyai sebarang perancangan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan gabungan lain, meskipun ada pelawaan daripada pihak tertentu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, tumpuan parti ketika ini adalah untuk memperkukuhkan akar umbi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Menurutnya, MCA menghargai tawaran yang dibuat Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin untuk membentuk kerjasama.
“Terima kasih atas pandangan beliau (Hashim) bahawa mereka boleh bekerjasama dengan kita tapi pasal (kerjasama) dengan siapa (selepas ini) itu jauh lagi.
“Belum masanya untuk kita buat keputusan. Kita berterima kasih tetapi setakat ini kita tidak ada apa-apa keputusan,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3227512]**
Sebelum ini, Hashim dilapor berkata, Pas terbuka untuk bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam Perikatan Nasional (PN) namun ia perlu dibincang lebih lanjut oleh kepimpinan tertinggi gabungan.
Ujarnya, parti itu secara dasarnya tidak mempunyai masalah menjalin kerjasama itu dengan pelbagai parti kecuali DAP.
Mengulas lanjut, Sin Woon berkata, MCA bertekad untuk bertanding pada PRU16 nanti sekiranya Kerajaan Perpaduan memutuskan penyandang kekal di kerusi masing-masing.
Katanya, pencerahan mengenai perkara tersebut akan dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan MCA yang dijadual pada akhir tahun ini.
“Pandangan akar umbi bahagian mahu kita bertanding sebab apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu kita tidak diberikan satu kerusi pun dan perkara ini tidak boleh diterima akar umbi,” katanya.