Pemuda Pas nasihat Zhemin bawa isu rakyat di Parlimen

KAMPAR - Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dikritik kerana didakwa mementingkan politik berbanding memberi perhatian terhadap isu rakyat kawasannya di Dewan Rakyat.

Naib Ketua Pemuda Pas Kampar, Abdul Hadi Azman berkata, keutamaan seorang wakil rakyat ialah memastikan kebajikan dan keperluan masyarakat setempat terbela.

"Zhemin dilihat lebih gemar berpolitik di Dewan Rakyat berbanding memberikan perhatian kepada isu-isu yang sangat mendesak dalam kalangan penduduk di parlimen Kampar.

"Sehingga ke hari ini tidak ada sebarang usaha konkrit daripada Ahli Parlimen Kampar itu untuk menyelesaikan banyak isu-isu melibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasannya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau yang juga penyelaras Parlimen Kampar berkata, antara isu rakyat yang perlu diberi perhatian adalah status pembinaan Hospital Kampar baharu.

"Selain itu, keadaan infrastruktur yang usang dan tiada akses jalan raya yang baik di kebanyakkan kawasan kampung tradisional Melayu dan kampung baru serta pelan jangka panjang dalam menangani masalah bencana alam seperti banjir kilat.

"Agihan peruntukan hampir RM1.42 juta kepada sebuah sekolah Cina tetapi tidak ada peruntukan yang sewajarnya kepada sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah-sekolah tamil dan sekolah-sekolah menengah di parlimen Kampar," katanya.

Abdul Hadi berkata, adalah tidak wajar apabila menjadikan Parlimen sebagai pentas wayang termasuk membangkitkan isu remeh seperti desakan agar Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyertai parti lain.

"Kepada Zhemin, gunakanlah kedudukan di Parlimen untuk menyuarakan isu-isu setempat bukannya untuk beraksi semberono demi kepentingan politik yang tidak untungkan rakyat Kampar.

"Parlimen bukan gelanggang hiburan tetapi tempat untuk membawa suara rakyat, jangan jadikan Parlimen sebagai medan sarkas politik yang mempermainkan mandat rakyat," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang Ahli Parlimen DAP mencadangkan agar Presiden MCA, Ka Siong menyertai Pas susulan dakwaan bahawa beliau mendapat sokongan daripada blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Chong Zhemin (PH–Kampar) membangkitkan perkara itu sejurus selepas Ka Siong (BN–Ayer Hitam) selesai membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).