Wanita UMNO Pahang bidas analogi 'lembu betina'

KUANTAN – Wanita UMNO Pahang menyelar kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang didakwa menghina kepimpinan wanita dengan menyamakan mereka dengan haiwan.

Ketuanya, Norhasmimi Abdul Ghani berkata, kenyataan seumpama itu bukan sahaja biadab, malah mencerminkan pemikiran sempit dan prejudis terhadap wanita yang memegang peranan sebagai pemimpin.

Menurutnya, pemimpin muda seharusnya menggunakan akal waras dan adab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kepimpinan seseorang seharusnya dinilai dengan neraca Islam sebenar melalui iman, akhlak, amanah dan kewibawaan, bukan dengan menghina jantina atau menyamakan wanita dengan haiwan.

“Jika beginilah tahap pemikiran yang dibawa, rakyat berhak mempersoalkan kelayakan beliau memimpin dan mewakili parti.

“Jika ALLAH memuji, siapakah kita untuk mengeji,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norhasmimi menjelaskan, tindakan menghina wanita dengan perbandingan haiwan sama ada lembu, biri-biri atau monyet merupakan bentuk penghinaan yang amat mengguris hati serta menjatuhkan maruah wanita.

Ujarnya, perbuatan tersebut juga bercanggah dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kehormatan sesama insan serta tidak merendahkan mana-mana makhluk ciptaan ALLAH, apatah lagi wanita yang memainkan peranan besar dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Norhasmimi menegaskan bahawa al-Quran sendiri mengiktiraf kepimpinan wanita menerusi kisah Ratu Balqis seperti yang direkodkan dalam Surah An-Naml, ayat 23 hingga 44.

“Ratu Balqis digambarkan sebagai pemimpin yang bijaksana, berani dan adil sehingga berjaya menyelamatkan rakyatnya daripada kesyirikan.

“Jika wanita tidak layak memimpin, mengapa ALLAH memuji kebijaksanaan seorang ratu dalam kitab-Nya sendiri?” katanya.

Beliau menambah, Rasulullah SAW pernah mendengar dan menerima pandangan Ummu Salamah r.a. dalam Perjanjian Hudaibiyah yang menjadi titik penting penyelesaian krisis umat Islam ketika itu.

“Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melantik Syifa’ Abdullah memegang jawatan penting dalam urusan pentadbiran.

“Sejarah Islam sarat dengan bukti kepimpinan wanita yang menyumbang kepada pembangunan ummah,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan Muhammad Salman selepas menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan 'lembu betina'.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan tersebut perlu difahami sebagai bentuk analogi biasa dalam penulisan dan tidak bertujuan menghina wanita.

Pada Isnin, Muhammad Salman dalam satu hantaran di media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.

Menurutnya, dalam pengurusan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, waktu berehat dan waktu pulang, manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Susulan kenyataan tersebut, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan, mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataannya sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.