PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing untuk turut menerima subsidi petrol RON95.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu tuduhan tersebut merupakan satu pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya sebenarnya tidak pernah cakap begitu. Saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya kenyataan itu sebagai satu kenyataan berfitnah atau pembohongan.
“Apatah lagi yang memberikan penjelasan itu ialah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di dalam Parlimen,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial pada Selasa.
Tegas beliau, sejak dahulu lagi dasar subsidi minyak negara hanya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia bukannya warga asing.
Sehubungan itu, Muhyiddin mempersoalkan sumber yang dirujuk Anwar ketika membuat kenyataan tersebut di Dewan Rakyat.
“Apabila ada kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan dia kata dia baca, saya nak tahu dia baca di mana? Buku apa? Video apa? Atau sidang media mana yang saya telah buat? Yang pastinya tidak ada.
“Perdana Menteri tidak buat semakan yang betul dan buat kenyataan di Parlimen seolah-olah semuanya betul. Saya nyatakan ia adalah suatu pembohongan,” katanya lagi.
Susulan itu, beliau mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti sahih berhubung kenyataan yang didakwa tersebut.
“Saya minta Perdana Menteri memberikan bukti yang sahih daripada sumber mana yang didapatkan dan sama ada sumber itu sahih ataupun palsu.
“Dan kalau ia palsu, bermakna itu sudah merupakan suatu fitnah dan pembohongan,” tegasnya.
Terdahulu, Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.