Peruntukan pembangkang: PM minta PN capai kata sepakat terlebih dahulu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencapai kesepakatan sesama mereka terlebih dahulu sebelum rundingan berkaitan peruntukan kepada pembangkang dapat diteruskan bersama pihak kerajaan.

Menurut beliau, ketika ini wujud percanggahan dalam kalangan pemimpin pembangkang, apabila ada yang bersetuju dan ada yang menolak untuk berunding dengan kerajaan berhubung perkara tersebut.

Anwar berkata, jika kesepakatan dapat dicapai dalam kalangan ahli Parlimen PN, rundingan boleh diteruskan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang telah diberikan mandat bagi menguruskan isu peruntukan terbabit.

“Mesti ada kesepakatan antara pemimpin pembangkang dahulu. Sekarang ini belum sepakat, ada yang setuju berunding, ada yang tidak setuju.

“Jadi saya cadangkan Ahli Parlimen Arau (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) berbincang dahulu dengan ahli-ahli Parlimen PN, capai kata sepakat, dan kemudian maklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang telah diberi mandat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sidang Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Shahidan yang bertanyakan kesediaan kerajaan untuk memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, sebagai satu bentuk keadilan susulan kejayaan Malaysia menjadi pendamai dalam konflik Thailand-Kemboja.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam soalan tambahannya menyatakan kesediaan beliau untuk bertemu Anwar pada hari sama bagi membincangkan isu tersebut.

Namun, Anwar menegaskan bahawa perkara berkaitan peruntukan telah pun diserahkan kepada Fadillah yang mengetuai proses rundingan bersama pihak pembangkang.

“Tetapi kalau nak bincang hal-hal lain, saya tiada keberatan untuk berjumpa Ketua Pembangkang,” ujarnya.

Terdahulu, Fadillah dilaporkan pada Februari lalu berkata, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah menemuinya bagi berbincang mengenai isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Disebabkan ketiadaan pertemuan rasmi dengan Hamzah setakat ini, Fadillah menyatakan sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk membincangkan cadangan berkaitan peruntukan tersebut.

Pada 1 Jun lalu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menggesa kerajaan Persekutuan agar segera membuka meja rundingan secara rasmi berhubung isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang masih belum menemui penyelesaian.

Takiyuddin memaklumkan bahawa surat menyatakan hasrat untuk berbincang telah dihantar kepada Fadillah sejak 14 Mac lalu, namun hanya dibalas selepas kenyataan media dibuat bagi mendesak penjelasan.