MCA, MIC perlu pertimbang kerjasama baharu - Zaid Ibrahim

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya MIC dan MCA melangkah ke hadapan dengan mempertimbangkan kerjasama bersama Pas sebagai rakan politik baharu.

Bekas Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, beliau menyambut baik kemungkinan dua parti terbabit bekerjasama dengan Pas.

Menurutnya, kerjasama itu boleh menandakan kelahiran satu bentuk politik konsensus baharu yang mengingatkan kembali zaman kegemilangan negara ketika UMNO, MCA dan MIC bekerjasama dengan saling menghormati serta berkongsi visi untuk Malaysia.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk membayangkan semula gabungan itu, namun bukan dengan UMNO yang telah terjejas, tetapi dengan Pas bagi menggantikan tempatnya.

“Pas yang yakin, berprinsip dan tidak tercemar,” katanya menerusi satu hantaran di platform X miliknya.

Pada Sabtu, MIC secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain demi kelangsungan parti berkenaan.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keputusan itu juga dibuat demi membela nasib masyarakat India.

Sehubungan itu, Mohd Zaid berpandangan MCA juga wajar mempertimbangkan untuk mencari rakan baharu bagi menggantikan UMNO.

Tambah beliau, Pas tidak pernah terpalit dalam skandal kewangan berbilion ringgit atau skandal seks yang memalukan pihak lain.

“Tidak seperti sesetengah pihak, Pas juga tidak menjadikan ketuanan ideologi atau keistimewaan kaum sebagai tongkat politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zaid turut mendakwa DAP sudah lama memandang rendah terhadap Pas dengan menganggap parti Islam itu sebagai kolot, tidak sofistikated dan tidak relevan.

“Keangkuhan itulah yang menjadi punca DAP akan goyah. Mereka memandang rendah kuasa akar umbi, kekuatan keyakinan serta maruah sebuah parti yang meskipun mempunyai kelemahan, tetap berpegang kepada prinsip,” katanya.

Dakwanya lagi, DAP mungkin percaya mereka terlalu bijak untuk bekerjasama dengan Pas, namun keangkuhan itu juga yang akan membawa kejatuhan mereka.

Katanya, rakyat kini sedang bergerak ke hadapan dan parti-parti yang pernah menyatukan negara juga seharusnya melakukan perkara sama.