Krisis kebuluran Gaza: Rafizi ajak warga maya jadi 'tentera bawang' lawan kekejaman Israel

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyeru rakyat Malaysia agar menggembleng semula kekuatan siber sebagai 'tentera bawang' bagi mendesak Israel menghentikan kekejaman yang menyebabkan krisis kebuluran besar-besaran di Gaza.

Menurut beliau, rakyat Malaysia pernah menjadi perhatian antarabangsa apabila secara beramai-ramai menyerang akaun rasmi milik Israel di media sosial sehingga digelar sebagai 'tentera bawang'.

“Sudah sampai masanya kita menjadi tentera bawang beramai-ramai untuk mendesak Israel menghentikan kekejaman yang menyebabkan kebuluran besar-besaran di Gaza,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas situasi terkini di Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan akibat sekatan bekalan makanan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Namun, Rafizi turut menzahirkan kekecewaan apabila pada saat dunia memberi perhatian kepada penderitaan rakyat Gaza, netizen di Malaysia pula lebih cenderung memperdebatkan isu politik tempatan seperti ‘Turun Anwar’ dan ‘Kekal Anwar’.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh mengenai budaya buli siber yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat, khususnya remaja yang berpunca daripada perbalahan politik.

“Dalam kalangan netizen, perbalahan yang sering membawa kepada maki hamun dan buli siber ini lazimnya berkait dengan politik,” ujarnya.

Rafizi turut memetik laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menyatakan bahawa Malaysia berada di kedudukan kedua di Asia selepas China dan kelima di dunia dalam insiden buli siber dalam kalangan remaja.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, kajian UNICEF juga mendapati 47 peratus ibu bapa menyedari sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak atau remaja di komuniti mereka menjadi mangsa buli siber manakala satu daripada empat ibu bapa percaya anak mereka sendiri turut menjadi mangsa.

Rafizi menjelaskan bahawa budaya negatif ini berpunca daripada sikap segelintir orang dewasa yang sering meninggalkan komen kasar dan tidak beradab di media sosial.

“Sebagai ibu bapa, kita semua bertanggungjawab kerana anak-anak mengambil teladan daripada kita.

"Apabila kita buat komen di media sosial yang buat kita rasa hebat tetapi sebenarnya merupakan satu bentuk buli siber, kita sedang membiasakan budaya itu dalam masyarakat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sikap agresif di media sosial disalurkan ke arah yang lebih bermanfaat, khususnya memperjuangkan isu kemanusiaan global seperti konflik di Gaza.

“Untuk bulan Ogos ini, jom kita cuba salurkan ego dan nafsu buli siber kita itu kepada perkara lain.

“Kalau dah tak tahan sangat nak buat posting panas, biarlah ia membawa kebaikan – contohnya untuk mendesak Israel menghentikan kekejaman ini,” katanya.